Tulisan ini tidak bertujuan menilai perjuangan Rashid Maidin seorang tokoh Parti Komunis Malaysia(PKM) yang cukup terkenal itu. Beliau turut terlibat dalam rundingan di Baling yang cukup terkenal dalam sejarah negara kita, Malaysia.
Tulisan ini hanya sekadar melukiskan secara ringkas pandangan Allahyarham Rashid Maidin tentang Rundingan Baling.
Beliau terlibat dalam perjuangan menentang British dan fasis Jepun.
Rundingan Baling tahun 1955 yang kerajaan Persekutuan Tanah Melayu diwakili oleh Tunku Abdul Rahman,Tan Cheng Lock, David Marshall dan Hamid Jumaat.
Menurut Rashid Maidin, perundingan itu pada dasarnya mahu mencari perdamaian. Tetapi telah bertukar wajah. Sikap perwakilan Tanah Melayu sangat keras terhadap PKM. Pihak PKM telah diberi kata dua, menyerah diri atau dihapuskan. Keadaan menjadi tegang. Pihak PKM tentu tidak dapat menerima kata dua tersebut.
Menurut Rashid Maidin, pihak PKM mahu menamatkan perang, tetapi dengan cara yang adil dan munasabah.PKM menegaskan soal menyerah diri tidak timbul kerana mereka bukan pengganas tetapi pejuang kemerdekaan.
Rashid berkata,"yang kami lawan bukan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu, tapi penjajah British."
