sponsor

Thursday 30 May 2013

Wajah Seorang Tok Nabe

Perjalanan ke Patani memaparkan perlbagai wajah. Di sini aku ketemui seraut wajah yang cekal menghadapi cabaran hidup di bumi Patani Darussalam. Hidupnya bermula sebagai seorang guru yang mengajar tulis baca.

Dia tidak pernah menerima sebarang gaji atau elaun. Khidmatnya secara sukarela.

Menjadi guru di sekolah tadika di Patani Darussalam berbeza dengan di Malaysia..Murid-murid tadika belajar pada hari Sabtu dan Ahad selama 5 jam setiap hari. Pada hari ini anak-anak Patani Darussalam belajar Bahasa Melayu dan pelajaran Islam.

Tok Nabe yang bernama Zakaria Abdullah pernah dipenjara hanya semata-mata kerana mengajar tulis baca. Sekarang beliau jarang mengajar hanya sekadar mengurus tadika Taman Fardhu Ain Nurul Huda Paku, Patani.

Tugas utama beliau sebagai Tok Nabe( Penghulu istilah di Malaysia). Beliau dipilih oleh rakyat dan elaun dibayar oleh pemerintah.

Pun begitu hati beliau masih di tadika. Beliau mendidik dan memimpin anak bangsa agar menjadi umat yang celek bahasa dan agama. Beliau tetap dengan tugasnya membantu tadika walaupun ada waktunya nyawanya terancam. Ini adalah kerana beliau seorang pejuang bahasa.

Tuesday 21 May 2013

Membeli Bahan Makanan Untuk Rohingya Di Sadao

NGO MasSSA dan NGO dari Sadao bekerjasama membantu orang Rohingya yang terlantar di Sadao.

Bahan-bahan makanan dibeli di Pekan Sadao dan diserahkan kepada NGO di Sadao di bawah pimpinan  'Baba' Ya atau nama penuh Ustaz Yahya Yuni Hassan anak kelahiran Patani. Beliau lulusan dari universiti di Sudan.




NGO dibawah pimpinan Baba Ya akan memasak makanan secara bergotong-royong setiap hari.

Pada hari minggu orang-orang kampung akan memasak secara sukarela kepada orang Rohingya yang ditahan di pusat tahanan Sadao.

Di pusat itu penuh padat. Keadaan tidak begitu selesa. Tempatnya panas.Berbau hancing! Mahu tidak mahu terpaksalah ditanggung juga.

Sewaktu kami melawat  ada 150 Rohingya . Mereka bersunggut kerana lewat bersarapan. Ada diantara yang boleh bercakap Bahasa Inggeris. Rakan dari NGO Indonesia turut memberikan sumbangan dalam bidang perubatan.


Kami makan tengahari di Sadao bersama rakan dari Indonesia disebuah restoran milek orang Patani. Makanannya sungguh sedap dan lazat.Baba yang belanja makan tengahari itu!








Tambah rezeki
tambah juga amal
dunia boleh dimileki
akhiratlah yang kekal.

Monday 20 May 2013

Orang Tua Di Pinggir Sungai

Namanya Pak Man. Begitulah nama panggilan bagi seorang tua yang tinggal seorang diri di Kampung Medan, Selama,Perak. Dahulu ibunya tinggal bersama. Setelah ibunya pergi tinggallah Pak Man seorang di rumah yang terletak dipinggir sungai.

Bila air sungai pasang rumah Pak Man dipenuhi dengan air sungai. Pak Man terpaksa 'berpindah' ke surau yang terletak kira-kira 50 km daripada rumahnya.

Di rumah inilah Pak Man berlindung daripada hujan dan panas. Di rumah ini dia makan,minum dan berehat.

Gambar dikiri. Borhan dan Pak Man.


Menurut Encik Mohd Monier program JJMK tidak menyenaraikan Pak Man dalam siri lawatan itu.Kata orang semacam program 'bidan terjun'

Kami sampai di rumah Pak Man pada pukul 6.18 petang setelah bergerak sejauh 125 kilometer. Rumah Pak Man dhaif sekali. Tidak elektrik dan air paip. Dia memasak dengan menggunakan dapur kayu.

Pak Man seorang insan biasa. Dia ada keistimewa yang tersendiri. Dia pandai melukis gambar potret dan pemandangan. Dia menggunakan warna yang suram untuk lukisan pemandangan.Mungkin warna suram ini sesuai dengan jiwanya.

Pak Man sukar untuk berbicara dengan orang yang tidak dikenali. Dengan bantuan seorang penduduk di situ  memudahkan kerja kawan-kawan dari Wargakilang untuk membantunya. Dia menerima kedatangan kami dengan baik dan senyuman mesra.Suaranya lembut dan perlahan. Sekali sekala dia mengeluh,"Allaaah, tak taulah." Dia menceritakan rumahnya  bahagian yang tengah rosak dihempap pokok.


Bahagian inilah yang tinggal. Di kanan sekali tempat dia memasak. Dia menggunakan kayu untuk memasak.(Sumbangan dapur gas untuk Pak man)

Tangga rumahnya sudah rosak. Anak tangganya sudah patah. Tapi ada waktunya Pak Man masih menggunakannya.Mungkin ada waktu tangga itu boleh diperbaiki. Kerja pembersihan di rumah Pak Man dilakukan secara bergotong-royong sudah menghampiri senja.
                                                                                     
Inilah dapur gas yang dihadiahkan untuk kegunaan Pak Man. Pak Man masih belum mengerti cara menggunakannya. Ada jirannya yang baik hati sedia membantunya. Dan tentunya Pak Man senang hati.


Kata orang kampung itu, Pak Man terpaksa pindah ke tempat lain.Kawasan disepanjang jalan masuk ke rumah Pak Man akan ditambak untuk menggelak daripada banjir melanda. Tentunya Pak Man berat hati hendak meninggalkan rumah itu Dia sudah sekian lama tinggal di situ. Mahu tidak mahu, terpaksalah berpindah ke tempat yang lebih selesa dan selamat.


Kelatlah nangka tinggi di gua.
Hatta kan dua pastinya tiga
Hormatlah mereka sayangi jua
Kita kan tua seperti dia.



Bergambar bersama Wargakilang
6.30 petang.









Menyediakan api untuk memasak.

Oleh Shakir  Taha

Sunday 19 May 2013

Wajah Kemiskinan di Malaysia

Di sinilah seorang bekas tentera meneruskan sisa-sisa hidupnya bersama dua orang anaknya dan isterinya. Inilah rumahnya.Di sinilah dia makan dan minum. Di rumah ini dia sekeluarga tidur baring.(Gambar kanan)

Inilah rumah seorang bekas tentera yang berusia 40 tahun. Beliau hanya berkhidmat selama 10 tahun dalam angkatan tentera. Wang pampasan yang diharapkan untuk mendirikan rumah telah dicuri oleh saudaranya sendiri.

Untuk menyara hidupnya sekelurga Suhaimi menoreh getah orang kampungnya.Hasil jualan getah sekerap dalam seminggu katanya, dapatlah dalam RM70.00.Setelah dibagikan dengan tuan tanah dapatlah RM35.00 seminggu.

Untuk menambahkan pendapatannya Suahimi mendirikan kedai kopi yang dibantu oleh isterinya,Puan Suryani yang sebaya umur dengannya.

Beliau menjual bihun sup dan lain-lain lagi.Semangkok bihun sup hanya RM1.00. "Di sini kami tidak boleh jual mahal." kata isterinya. Rata-rata penduduk di sini bekerja sebagai penoreh getah.

Kedai kopi yang terletak di Kampung Padang Bola,Tanjung Lengkong,Selama,Perak hanya dibuka pada sebelah petang sahaja."Ada hari yang bagus jualan kami meningkatkan sampai RM20.00." jelas Suhaimi lagi.


Untuk melepaskan dirinya daripada lingkaran kemiskinan yang membelit dirinya dan keluarga, Suhaimi membantu kawan-kawannya yang berniaga di sekitar pekan Selama. Dapatlah sedikit wang tambahan untuk keluarganya.





Gambar kini Suhaimi dan keluarganya.Di kiri sekali ialah Tuan Haji Fendi daripada NGO Wargakilang.

Sebelum aku dan NGO Wargakilang berangkat ke tempat lain Hj Fendi menghulurkan sumbangan barang-barang makanan dan wang zakat daripada orang perseorangan. Sebagai mana yang dikatakan oleh Encik Monier,Yang diPertua Wargakilang lulusan dari Amerika Syarikat
itu,"Kami hanyalah sebagai posman dalam kerja-kerja kebajikan ini."

Kelapa puan di dalam jalur
Kelapa jantan di buat titian
Usaha pembangunan hendaklah jujur,
Supaya kemiskinan dapat dihapuskan.

Oleh












Tuesday 14 May 2013

Jakarta Yang Menyesak Dada

Kami sempat melawat Universitas Indonesia dalam program lawatan sambil dengan Aman Patani. Hari itu Jumaat dan kami menunaikan solat Jumaat di kampus universiti.Jemaahnya cukup ramai.

Hampir tiada ruang kosong. Ada yang solat di atas tanah lapang kawasan mesjid universiti tersebut.




Aku sempat merakamkan gambar Hasan dan Amir dihadapan benteng Universitas Indonesia.

Penduduk Jakarta sangat padat. Di sini terdapat 9.1 juta jiwa yang tinggal di sini.(2011)

Jalan raya penuh sesak dengan kenderaan.Pergerakan kenderaan agak  perlahan dan memenatkan.



Menariknya Kota Jakarta terdapat sukarelawan yang membantu laluan lalu lintas di tengah kesibukan dan mentari panas. Sebagai penghargaan pemandu akan menghulurkan beberapa keping rupiah kepada petugas tidak rasmi ini.


Kami tidak menginap di Kota Jakarta. Di Tangerang. Menurut Pramoedya Ananta Toer, sasterawan Indonesia yang cukup terkenal itu, dalam bukunya,Jalan Raya Pos Jalan Daendels,Tangerang sebagai nama tempat  yang disalah oleh eja. Nama  Tangerang itu warisan Belanda.

Sepatutnya ditulis dan disebut Tanggeran,kata sasterawan besar itu.

Seperti kata Pram," Dan sekarang Tangerang telah menjadi kota industri di samping perdagangan, juga kota pemukiman buruh dan birokrat yang bekerja di Jakarta. Maka lalulintas Tangerang-Jakarta termasuk terpadar di Indonesia, yang mencapai puncaknya pada jam-jam masuk dan keluar kantor."(muka surat 42, cetakan 6,April 2008).






Saturday 11 May 2013

Mak Cik Muslimah Ibu As Syahid Mubaraq

Rasa-rasanya baru kelmarin aku bertemu dengan Ibu bertuah ini. Dia tinggal di Kampung Merleh,Jabat, Menara.  Rupa-rupanya sudah setahun berlalu.

Wanita yang tabah dengan dugaan Tuhan ialah ibu As Syahid Mubaraq Abdul Qani. As Syahid gugur dalam pertempuran  dengan tentera penjajah Thai setahun yang lalu.

Aku bertemu  dengannya sekali lagi di Menara sewaktu menyambut perayaan anak yatim di perkarangan Majlis Agama Islam Menara.

Oleh kerana Aku perlu pulang segara ke Jala, tidak sempatlah berbicara dengannya. Dia masih mengenali aku rupanya. Dia senyum dan melambai kepada ku.


Aku berdoa semoga Tuhan memberikan kekuatan kepadanya menghadapi dugaan dan cubaan kepada keluarganya. Semoga Allah sentiasa melindungi keluarga ini.

Maafkan Aku Ibu kerana tidak sempat berbicara dengan mu.
Biarpun begitu Aku cukup gembira kerana kau masih senyum padaku.
Kau Ibu bertuah, anak mu as syahid Mubaraq sentiasa hidup diisiNYA.


Friday 10 May 2013

Tulislah Dari Mata dan Hati


Rakyat Patani boleh menulis rasa hati mereka. Tulislah apa yang hendak ditulis. Apa yang terbuku dihati.

Biar orang tahu
Jangan dipendam dalam hati
Sakit hati nanti
Silap-silap boleh mati

Thursday 9 May 2013

Anwar Ismail 11 Tahun Dipenjara








Kisah Anwar Ismail dapat dibaca dilaman web http://khabarfathani.blogspot.com

Bermalam di Menara (Narathiwat)

Inilah kali pertama aku menjejak kaki wilayah yang bergolak Menara namanya. Tapi orang Thai menamakannya Narathiwat wilayah yang dihuni lebih daripada 82% orang Melayu.Di sini lebih daripada 80% penduduknya bercakap Melayu.

Di wilayah inilah berlakunya "Peristiwa Berdarah Tak Bai" pada 24 Oktober 2004 yang memakan korban seramai 78 orang Melayu Islam. Kami tidak ke Tak Bai atau nama Melayunya Tabal.


Selepas solat jamak takakhir kami mencari hotel.Urusan mencari tempat menginap diurusankan oleh kawan-kawan dari Patani. Hampir masuk isyak baru dapat tempat menginap. Tempat ini diurusankan oleh orang Melayu keturunan Arab.

Biliknya tidak ada penghawa dingin.Sewa aku kira mahal.Semalam RM70.00. Di Jala dan Patani lebih murah dan baik.

Di Menara kata Tuan punya apatmen jarang sekali dikunjungi oleh pelancong. Jadi tidak hairanlah Tuan punya apatmen mengambil masa untuk menyiapkan bilik untuk 'tetamunya'

Malam di Menara masih muda. Kesunyian sudah memeluk malam. Kesibukan kendaraan sudah tiada.Aku tidak pasti ada atau tidak tempat 'hiburan malam'. Aku tidak pernah ambil pusing hal itu.

Aku keluar makan malam bersama-sama rakan yang datang dari Patani dan Jala. Kami makan dipinggir jalan.Jarang-jarang kereta atau motorsikal yang lalu lalang. Kami boleh makan dengan tenang tanpa gangguan enjin kereta ataupun kepulan asap.

Makanan di sini sedap dan tidak mahal.Makanan di pinggir jalan tentu tidak mahal. Kami tidak makan di hotel kerana sebagai orang 'pinggiran' lebih selesa makan di pinggir jalan.

Malam masih muda.Lampu di pinggir jalan bertengkar dengan malam sampai ke pagi.

Wednesday 8 May 2013

Bicara Patani

Aku ke Menara'sebagai 'posman' sahaja. Menyampaikan amanah sahaja sambil melihat rakyatnya yang masih berada dibawah cengkaman penjajah Siam. Patani Darussalam dibelenggu oleh Siam sejak tahun 1785. Dibawah jajahan Siam Orang Melayu Islam Patani(OMIP) dinafikan haknya untuk menuntut kemerdekaan dengan melaksanakan dasar-dasar yang berbentuk asimilasi dan diskriminasi terhadaap OMIP. Sebelum ini aku hanya mendengar cerita orang dan membaca buku oleh Dr.Zamberi,Dr.Nik Anwar,Prof Duncan McCargo dan lain-lain lagi.

Kini aku benar-benar berada di lapangan.Menyaksi degup jantung OMIP sendiri.

Kawan aku bertanya pandangan aku sebagai orang Malaysia tentang program "Bicara Patani." Aku termangu. Dia berkata,"tulislah sedikit."


1.Kebangkitan anak muda luarbiasa sekali. Terdapat kerjasama yang cukup baik antara gerakan wanita diketuai oleh wanita seperti "Deep Peace" dan badan-badan NGO yang lain. Mereka berjaya menarik ramai khalayak ke program. Tua, muda,lelaki dan perempuan memenuhi ruang kosong yang ada.

2.Anak anak berani bersuara tentang keadilan dan keamanan. Persatuan Mahasiswa seperti PERMAS telah turut ke lapangan untuk bertemu dengan masyarakat tanpa jemu. Tindakan mereka adalah "non-violence".Mereka berbicara dengan akal budi. Tokoh-tokoh muda seperti Tuan Danial, Atief Shukur,Anwar Ismael dan beberapa orang tokoh muda yang aktif  selalu bersama masyarakat. Tapi sayang sekali tokoh muda seperti Anwar Ismail telah dipenjarakan oleh pihak Thai dengan alasan yang tidak kukuh dan diterima oleh akal budi.

3.Setiap acara yang besar berjaya menarik seramai 7,000 hingga 10,000 penonton.












4.Membuka mata dan telinga rakyat tentang hak-hak asasi mereka. Mereka tahu tempat hendak mengadu.Sindrom takut mulai tersingkir.

5.Bahasa Melayu dialek Patani digunakan secara meluas walaupun ada waktunya Bahasa Thai disulam juga.Memandangkan Patani Darussalam dijajah begitu dan dasar Rathaniyom yang diperkenalkan oleh Phibul Songkhram pada tahun 1938 memberi kesan yang mendalam terhadap jatidiri OMIP.

Jadi  setakat inilah yang boleh aku berikan sebagai menunaikan permintaan rakan di sempadan sana.Ini hanyalah sekadar orang  yang berada dilapangan.

Salam hormat dan jumpa lagi.

Tuesday 7 May 2013

Masih Ada Waktu

Menara.Perkarangan Majlis Agama Islam Narathiwat.

Pagi itu Aku sempat berbual-bual dengan seorang ahli perniagaan. Idris namanya(Gambar di sudut kanan sekali). Isterinya seorang guru Bahasa Inggeris di sekolah Hj Harun Jala.


Katanya dia menjual susu kambing yang  dibawa masuk dari Malaysia.
Hari itu hari minggu. Biasanya orang berniaga akan  rehat di rumah setelah penat bekerja. Tapi tidak bagi Idris. Dia turut melapangkan masanya menyambut perayaan anak yatim yang diadakan di Narathiwat.

Orangnya lebih banyak menghadiahkan senyuman daripada berbicara. Dia mudah senyum. Benarlah kata pepatah Cina,orang tidak boleh senyum,tidak boleh berniaga. Idris lebih banyak senyum dan menjadi pendengar yang baik. Suaranya agak perlahan dan kadang-kadang semacam tidak kedengaran tuturkata.Yang jelas lebih banyak senyum. Senyum itukan sedekah. Hari itu dia banyak  bersedekah.

Katanya, "Saya selalu membaca blog Aman Patani." "Saudara faham kandungannya." aku bertanya."Oh! faham." sambil mengukir senyum.

Monday 6 May 2013

Kaki Melangkak Kawasan Bersih


Aku terpegun melihatkan anak muda di Menara yang dengan penuh kesungguhan mengutip sampah yang berselerak di perkarangan Majlis Agama Islam Menara(Narathiwat).

Dalam keadaan cuaca panas mereka membawa karung plastik hitam untuk mengisi sampah sarap. Mereka tidak dibayar apa-apa. Mereka tidak merungut atau keloh kesah. Tugas dijalankan secepat mungkin.

Semangat bergotong-royong cukup tinggi. Tidak orang yang memberi arahan,seperti "Di sini banyak sampah......"Mereka cukup faham tugas masing-masing.

Itulah semangat gotong-royong anak muda di wilayah yang tertindas dan terjajah!

Sunday 5 May 2013

Rusnee Tetap Tabah Meneruskan Hidup

Rusnee,25,  balu As-Syahid Mat Rasol yang gugur pada 13 Februari 2013 sewaktu menyerang kem tentera laut di Bacho, kini terus tabah menerus hidup bersama dua orang anaknya. Beliau tinggal  di Kampung Duku,Menara.

As-Syahid lahir,terbunuh dan dikebumikan di Bacho kawasan yang kaya  dengan sawah yang menghijau dan hutan getah yang merimbun. Pihak tentera Thai menamakan kawasan ini sebagai "kawasan merah", kawasan milek pejuang.

Tentera Thai jarang sekali memasuki kawasan ini.



Rusnee mempunyai kemahiran menjahit. Dengan kemahiran inilah menyara hidupnya bersama dua orang anaknya yang masih kecil.

Anak sulungnya Mini berusia enam tahun dan Mudassir anak lelakinya baru berusia 20 bulan dan sudah boleh berjalan.

Sebagai seorang manusia,dia sedih dengan pergian suaminya tapi redho sambil mengesat airmatanya.Dia terus bercerita kepada kami sambil melontarkan senyumannya. Senyum dalam redho,kata Ustaz Kamaruddin, bukan senyum dalam tangisan menyembungikan kesedihannya.

Pagi itu diperkarangan Majlis Agama Islam,Menara aku sempat merakamkan gambarnya bersama Mimi,anak sulungnya,Nurhayati dan Ustaz Kamaruddin.

Diadatang bersama ibu mertuanya kerana hendak mengikuti program sambutan anak yatim dan "Bicara Patani" yang mendapat sambutan yang hangat sekali.



Gambar dan tulisan  oleh

Mejar Zaidi Ahmad Mempertahankan Kebenaran

Dia mengatakan kebenaran perlu ditegakkan. Oleh kerana itu dia tanpa takut dan bimbang membuat laporan polis tentang dakwat yang didakwa kekal tetapi tidak kekal.

Akibatnya dia ditukarkan serta merta ke Kuala Lumpur. Sebelum ini beliau ialah pegawai pemerintah skuadron ke 12 Tentera Udara DiRaja Malaysia yang berpangkalan di Butterworth.

Beliau melibatkan  diri dengan aktiviti kesukarelawanan.

Dikalangan mahasiswa Patani  Darussalam beliau dikenali sebagai Cikgu Zaidi. Dia membantu mahasiswa Patani dalam pembelajaran Bahasa Inggeris.

Orangnya agak pendiam dan tidak banyak berbicara. Beliau tidak pernah menolak ataupun absen bila diminta untuk membantu Aman Patani berhubung dengan program pendidikan yang diadakan di Pulau Pinang.

Beliau tidak meminta apa-apa dari hasil pertolongan.Malah segelas air sejukpun tidak pernah diminta ketika mengajar Bahasa Inggeris!

Thursday 2 May 2013

MahamaSabree Jehloh Dan Klip Videonya

Aku menyangka anak muda berjanggut, berjambang pernah belajar di Malaysia. Bahasa Melayunya baik sekali. Bila bercakap dia tidak menggunakan dialek Melayu Patani.

Anak muda yang sosoknya agak kursus,potongan rambut pendek dan jarang-jarang. Bahagian hadapan kepalanya sudah gondol. Pakaiannya 'simple' sekali. Kerap Aku temui berbaju-T sahaja. Ini mungkin bersesuaian dengan kerjanya di lapangan.


Selesai belajar di Sekolah Agama Nathadatul Islamiah Kampung Munduk,Sungai Golok, beliau meneruskannya pelajaran ke Universiti Ramkamheng dalam jurusan 'audio- visual.'

Anak kelahiran Sungai Golok ini diberi kepercayaan untuk memimpin badan mahasiswa dan dlantik menjadi 'Amir' PNYS(Patani,Menara,Jala,Songkhla dan Setul).Waktu ini(2004) berlaku konflik yang cukup hebat di Patani Darussalam.

Kesan negatif menyerang pelajar-pelajar dari Patani.Pihak di Bangkok mengangap orang Melayu sebagai teroris dan sikap ini dimarakkan lagi oleh media massa.



Mahasiswa Patani tersepit. Dalam keadaan inilah Badan PNYS yang dipimpin oleh Sabree menghulurkan bantuan mencari rumah sewa dan  tempat menginap. Sabree dan kawan-kawannya bertindak sebagai penjamin. Tanpa jaminan daripada mereka sulit bagi  anak-anak  Patani mendapatkan rumah sewa dan tempat menginap.

Beliau cukup berminat dalam  bidang  'audio-visual. Klip video yang dihasilkannya cukup berkualiti dan mendapat pujian daripada tokoh media.Klip video 'Mat Rasol Perwira Patani'  adalah antara yang terbaik yang dihasilkannya.










 

Oleh Shakir  Taha

Wednesday 1 May 2013

Zahri Ishak Aktivis Di Lapangan

Aku berjumpa dengannya setahun yang lalu di Universiti Putra Songkhla kampus Patani. Dia memperkenalkan diri sebagai Abang kepada Kartinee Ishak. Kartinee dan beberapa orang pelajar dari Patani Darussalam pernah belajar bahasa Inggeris selama tiga bulan dengan Aku di Pulau Pinang.

Anak muda ini cukup peramah dan mudah senyum. Tinggi kurus,berkulit kuning langsat, berpakaian segak dan kemas. Bahasa Melayu dialek Pataninya mudah difahami.

Bicaranya lembut dan santun. Jadi tidak hairanlah dia diterima menjadi juruhebah di Suara Majlis.Beliau turut memberi khidmatnya dengan "Wartani".Beliau juga aktif bersama 'South Peace Media'

Pernah diundang untuk  menjadi pengerusi majlis dalam 'Bicara Patani'. Semuanya dilakukan secara sukarela.

Usia mudanya digunakan untuk membantu masyarakat yang berada dalam konflik yang belum nampak garisan perdamaiannya.

Zahri pernah menyertai kem tentang kedamaian di India.Dia dipilih menyertaikan 'Visthar Camp'di India.


Tempat menginap di Visthar Camp, India.












Zahri seorang bapa yang penyayang. Dia mempunyai sepasangan anak kembar. Selamat bertugas untuk keamanan Patani Darussalam!









Oleh Shakir  Taha