sponsor

Wednesday, 12 December 2012

Dia Seorang Pejuang

Dalam perjalanan ke Patani Wan Abdul Rahman penyelaras Global Peace Mission Malaysia berkata,"kita nak jumpa pejuang". Dalam fikiran aku tentulah seorang lelaki yang hebat,berbadan tegap dan pandai menggunakan senjata..

" Itu dia".kata Ismael sambil menunjukkan ke arah seorang wanita berjubah hitam dan tudung labuh hitam.Wanita itu berdiri dipinggir jalan lalu membonceng sebuah mtorsikal anak muda. Kami mengekorinya sampai ke rumah.

Rumahnya,rumah kayu. Agak besar juga. Luas dan lapang. Di sekeliling rumah terdapat pokok buah-buahan seperti rambutan,pokok durian yang masih muda dan belimbing sagi.

Kawan-kawanku memanggilnya Kak Nab. Orangnya berkulit kuning langsat,bercakap loghat Kelantan,matanya bersinar terang. Suaranya jelas kedengaran( ada waktunya aku tidak memahami percakapannya yang menggunakan loghat Kelantan tapi kata Dr. Neil J. Melvin ini loghat Melayu Patani.)

Aku dengar dia bercakap begitu semangat sekali. Dia baru balik dari Mekah.Pihak pemerintah Thailand yang menghantarnya pergi ke Mekah.

Kak Nab bukanlah seorang pejuang yang menggalas M-16 atau AK-47. Kak Nab tidak tahu itu semua. Senjatanya hanyalah keberanian berkata-kata untuk menegakkan keadilan. Dan kerana itu dia sanggup turun ke Bangkok untuk berjumpa dengan pihak berkuasa di sana.Dia ke sana untuk menuntut keadilan yang tertangguh dan sentiasa ditangguh.

Suaminya mati ditembak tanpa sebab.Menurut Pak Mus(bukan nama sebenar) nyawa manusia Melayu di sini tidak ada nilai. Boleh ditembak macam menembak burung.Tidak ada tempat mengadu.Anak Kak Nab juga hilang entah ke mana selepas suaminya ditembak mati.

Kak Nab juga cukup perihatin tentang pendidikan anak bangsa. Dia mendirikan sekolahnya sendiri di kampung halamannya,Kampung Charak, Narathiwat. Ada 70 orang anak didiknya dengan 6 orang tenaga pengajar. Kak Nab selaku pengurus sekolah ini. Mereka mengajar Bahasa Melayu dan agama Islam tiap-tiap hari Sabtu dan Ahad.

Menurut Kak Nab pihak Bangkok ada juga memberi sagu hati.Namun sagu hati tetap merupakan sagu hati. Ianya tidak dapat menampung gaji tenaga pengajar di sini. Pun begitu Kak Nab tetap menguruskan mengikut kemampuan yang ada pada dirinya.


Oleh  Shakir  Taha

No comments:

Post a Comment