Baru-baru ini selepas singgah ke Tabal(Tak Bai istilah orang Siam) aku terus ke Jabat di wilayah Menara yang majoritinya terdiri daripada orang Melayu Islam Patani. Wilayah ini masih bergolak dan terus bergolak kerana berlakunya penindasan Siam terhadap orang umat Islam.
Aku singgah di Kampung Pupur dan bermalam di situ. Ada dikenalan di situ. Namanya Hj Lazir.Dia seorang peniaga kecil di kampung itu.Dia membuka kedai runcit. Ada waktunya dia bertugas sebagai sukarelawan kesihatan. Dia juga mengajar Al-Quran kepada anak-anak kampung itu. Di kampung ini aku ada kenalan yang bernama Hasan Jabat.Anak muda yang berusia 26 tahun lepasan Universiti Putra Songkhala,cawangan Patani.Dia seorang aktivis masyarakat.
Aku sampai waktu petang di kampung itu. Aku ke rumah Hasan Jabat. Rumah itu sudah berusia 100 tahun namun kayunya masih kukuh lagi. Tidak sampai lima minit aku duduk dirumah Hasan hidangan petang sudah dihidangkan. Pulut dengan ayam goreng. Jiran-jiran disekeliling datang bertanya khabar tentang Malaysia.Banyak juga soalan tentang Malaysia yang mereka tanya. Ramai yang pernah ke Malaysia terutama ke Kelantan dan Kuala Lumpur.
Malamnya Hj Lazir mengajak aku makan malam di rumahnya. Aku terima pelawaannya. Malam itu dia mengajar Al-Quran. Dia menghidangkan dengan buah-buahan tempatan seperti durian,dukung,buah berangan sementara menunggu makan malam disiapkan. Dia mengajar anak-anak kampung Al-Quran dan akhlak selepas solat maghrib. Dia menggunakan bahasa Melayu dialek Patani.
Durian segar di Kampung Pupur cukup lazat. Baru gugur dari pokok. Ada dua tiga jenis durian yang dihidangkan. Habis durian dibawa pula buah dukung dan buah berangan. Aku masih boleh makan lagi.Tapi bila dibawa buah manggis aku sudah tidak mampu makan lagi. Aku menyimpan ruang untuk mengisi nasi.
Makan malam cukup berselera dan enak. Ulam kampung beraneka jenis. Sambilan belacan,budu dan tempoyak ada.Sungguh menyelerakan. Malam di Kampung Pupur kaya dengan kesunyian. Tiada kenderaan yang lalu lalang.Kesunyian terus memdakap malam.Malam pula diselimuti dengan angin sejuk dari bukit.
No comments:
Post a Comment