sponsor

Tuesday, 30 August 2011

Nenek Oh! Nenek !

Dalam program bersama NGO Wargakilang aku singgah di rumah seorang perempuan tua di Padang Serai.Dia tinggal dirumah yang sudah usang bertemankan 5 ekor kucing. Katanya,masih ada anak. Tiga orang anaknya. Dua perempuan dan seorang lelaki.

Tanah yang dia milek perempuan. Kata taukeh itu,"Tinggallah di sini seberapa nenek suka." Dan tentunya Nenek akan tinggal sampai mati. Nenek ajak untuk pindah.Tapi Nenek masih sayangkan rumah ini.Di rumah inilah Nenek membesarkan 3 orang anaknya sampai mereka dewasa, kemudian kawin beranak dan bahagia.
Nenek cukup bahagia di sini. Jirannya sudah pindah ke tempat lain sesudah mendapat pampasan. Nenek tetap mahu tinggal di sini bersama 5 ekor kucing.Nenek tidak akan ke mana. Kata Nenek biarlah dimati sini. Biarlah orang lain pindah. Nenek tetap di sini.Nenek bahagia di sini.

Anaknya yang lelaki khabarnya selalu menjengok juga. Dialah yang selalu datang. Ada waktunya cucu-cucunya datang. Merekalah membantu nenek.

Kawan-kawan wargakilang memberikannya beras,kopi,gula dan lain-lain keperluan dapur. Nenek menolak pemberi wang.Bila ada wang pencuri selalu masuk. Ambil semua wang. Nenek tidak mampu melawan. Barang-barang lain tidak diusik. Hanya wang sahaja yang diambil.Kata nenek biarlah mereka ambil...

Aku teringat  ucapan Tok Khatib baru-baru ini. " Ibubapa sanggup menggadai nyawa untuk kesejahteraan hidup anak-anak, tetapi anak-anak apabila ibubapa sudah tua menanti bila hendak mati."

Oleh Shakir Taha 



Saturday, 27 August 2011

Indahnya Memberi

rKetika orang lain berpusu-pusu pulang ke kampung Wargakilang masih lagi sibuk mengagihkan barangan keperluan menyambut 1 Shawal di sekitar daerah Baling, Kedah kepada fakir miskin. Biarlah setiap tahun disambut dengan penuh ceria di rumah mereka.

Dalam perjalanan mengagih sumbangan kami singgah ke rumah Kak Marni,seorang ibu tunggal di Pulai.Kak Marni menyambut kedatangan dengan penuh kegembiraan. Beliau membuka perniagaan kecil di pekan kecil Pulai menampung keperluan anak-anak. Beliau tidak putus-putus mengucapkan terima kasih kepada NGO Wargakilang disertai dengan linangan airmata.

Kami menarik nafas lega melihatkan kehidupan Kak Marni kembali segar.Perniagaannya pun sudah menampakan ada kemajuan. Aku begitu terharu dengan pemberian sebungkus kek kecil daripada Kak Marni. Beliau enggan menerima wang.Aku dan Wahab tidak dapat berkata-kata melihatkan kesungguhan Kak Marni menghadiahkan kami sebungkus kek kecil. Dalam bungkus plastik ada lebih kurangan 20 biji kek kecil. Kami menerima dengan lapangan dada.

Kak Piah seorang nenek yang sudah uzur, tetap menjaga anaknya seorang OKU. Ketika menerima sumbangan yang beraneka, nenek ini mampu berkata,Terima kasih dan sambut dengan lelehan airmata.

Dalam perjalanan pulang kami disapakan oleh banjir yang melanda di sekitar Parit Panjang. Kalau banjir terus  mengganas,penduduk di sini terpaksalah beraya bersama alunan banjir.

Oleh Shakir Taha
shakirtaha@gmail.com

Gambar oleh Aznee Othman


Thursday, 25 August 2011

Pondok Hj Ahmad Nahu Sebagai Simbol Keterbatasan

Semacam tidak percaya sahaja bila tiba di pondok Hj Ahmad Nahu. Aku menyangka tentunya pondok yang ada seperti  di tempat Aku.  Kecil dan kemas.Sangkaan Aku meleset sungguh.

Bangunannya dibuat daripada kayu.Bumbungnya dibuat daripada zink. Secara fisikal bangunannya cukup menyesakkan dada.Kayunya cukup uzur dan menakutkan.Dindingnya berlobang-lobang.

Di sini Ustaz Kamel sebagai mudirnya dibantu oleh seorang Ustazah.Merekalah yang mengajar anak-anak yang haus ilmu agama ini.

Tenaga pengajar di sini hanya dua orang. Ustaz Kamel dan Ustazah. Merekalah yang mengajar siang dan malam.Mereka tidak dibayar gaji. Sebagai mana yang dikatakan oleh Prof. Dr.Deliar Noer dalam bukunya,Administrasi Islam Di Indonesia, bahawa mereka di sekolah seperti dengan maksud untuk menegakkan agama, bukan untuk mencari nafkah hidup.Bahawa nafkah didapat juga, bukan rupakan tujuan utama.

Pondok Hj Ahmad adalah simbol. Ia adalah simbol kepada keterbatasan. Sekolah pondok adalah benteng pertahanan ummat.Melihatkan keadaan yang serba terbatas ini pihak NGO Wargakilang terpanggil untuk membuat sesuatu bagi mengekalkan dan mengukuhkan pondok Hj Ahmad Nahu.

Dan anda boleh membantu dengan memberikan sumbangan kepada projek penambaik pulih pondok Ahmad Nahu ke akaun AGROBANK 1-00-5101-00003934-0 atas nama MADRASAH AHMADIAH ADDINIYAH ISLAMIAH. Semoga sumbangan Anda diberkati ALlah.


Oleh Shakir Md Taha

shakirtaha@gmail.com

Tuesday, 23 August 2011

Seorang Pemimpin Kecil Di Daerah Pedalaman

Sebagaimana yang dikatakan oleh Dr.Siddiq Fadzil, pemimpin bukan sekadar "orang besar" dalam citra dan pengertian seperti yang ditanggapi orang awam. Pemimpin adalah pembina dan pemandu umat. Justeru,kemimpinan adalah taklif, amanah dan pertanggungjawapan  terhadap misi transformatif- perubahan,pembebasan dan pencerahan(ikhraf al-nas min al-zulumat ila al-nur).

Kata zulumat adalah istilah Qur'ani, kata bentuk jamak dengan makna inklusif  meliputi  segala  kemanusiaan dan semua keadaan yang tidak layak bagi manusia bagi  manusia  sebagai makluk mulia: kesesatan,kejahilan,kemunduran,kemiskinan,ketertindasan,ketidakadilan dan lain-lain sejenisnya..Kepimpinan profetis selamanya diterasi motif pembebasan umat dari zulumat dan seterusnya memberikan pencerahan  dengan nur,cahaya illahi, sinar penyuluh jalan kesejahteraan duniawi-ukhrawi. 

Pemimpin pengemban misi taghyiriy harus mampu memenuhi fungsi sebagai human transformer(perubah manusia dan culture builder( pembina budaya). Peranan sebenar pemimpin tidak hanya mengarah, mengerah dan marah-marah. Lebih  daripada itu ia perlu tampil sebagai pemimpin-pendidik sebagaimana penampilan Nabi s.a.w sebagai al-Rasul al-Murabbi(Rasul-Pendidik) yang mentransformasikan manusia jahili menjadi insan muttaqi. 


Shakir Taha

Gambar oleh Surbo Zalie

Namaku Envelop

Di sini orang biasa memanggil namaku sampul surat
Orang Inggeris menyebut  envelope
Kebanyakan orang di sini kenal aku dengan nama envelop
Mak Cik di kampung juga kenal aku.
Mak Janda dan Duda juga kenal aku
Malah orang kampung di pedalaman juga kenal aku
Aku ada di mana-mana
Ya di bawah sinaran mentari
Di rumah kecil aku ada
Di rumah besar aku tinggal
Di istana, biasa sahaja

Kau tau!
Aku dipergunakan untuk apa sahaja

Orang yang lurus boleh dibengkokan
Yang bengkok boleh dilurus.
Yang gagal boleh diluluskan

Yang gagah segagah Samson boleh dilemahkan
Mudah saja
Hulurkan aku, aku yang namanya envelop
Yang alim boleh dijahilkan
Yang beriman seperti kota batu bisa runtuh


Pulau,negeri dan kerusi boleh dijatuhkan
dengan menghulurkan envelop
Tanpa sebutir peluru!


Oleh Shakir Md Taha

Monday, 22 August 2011

Monolog Seorang Ibu Tua

Pada mulanya Aku fikir ini hanya sebuah pondok. Sebuah pondok mainan. Mungkin pondok menunggu durian. Bukan apa seingat Aku semasa usia remaja selalu kami dirikan pondok seperti ini untuk rehat dan membaca.Pondok yang didirikan menggunakan bahan terbuang dan  batang pinang. Atapnya,atap rembia. Baru-baru ini Aku dan  kawan-kawan dari NGO Wargakilang melawat ke sebuah kampung di daerah Sik. Kampung ini kaya dengan kesunyian.Kaya dengan buah-buahan.Kaya dengan tanah yang subur. Juga kaya dengan kemiskinan.Kaya dengan udara segar bersih.

Aku terpegun,terkedu melihat ada seorang ibu tua di sini. Dia seorang diri. Kelihatan begitu dhaif. Tidak terurus.Udara segar yang Aku hidu tadi sudah tidak segar.Bau hancing.

"Aku tidak sendirian di sini.Mereka kata aku tinggal seorang diri di sini. Mereka itu tidak tahu apa yang aku tahu.Di kiri kanan ku ada makluk.Ada makluk yang mengawasi aku siang malam. Tidak seperti anak-anak Aku yang sibuk dengan kerja mereka.Mencari sesuap nasi untuk keluarga mereka.Aku dah tua.Aku selalu lupa.Lalu aku ditempatkan di sini. Aku ini menganggu ketenangan hidup mereka. Aku menganggu ketenangan malam. Cumanya aku tidak ditahan di bawah ISA. Tapi biarlah aku di sini. Di sini ada kedamaian.Aku tidak menganggu anak cucuku. Aku senang hati bila tengok mereka senang.Aku tidak minta apa-apa dari mereka.Aku telah membesarkan mereka.Itu tanggungjawab aku.Sekarang ini hidup aku beginilah jadinya.

Ada anak. Ada cucu. Mereka kawin, beranak dan bahagia.Biarlah anak-anak aku bahagia. Aku senang melihat mereka.

Tapi seingat aku,aku tidak dilahirkan di sini.Aku tidak dibesarkan di sini. Aku ingat sungguh hal ini.Tidak apa aku hanya sebentar di sini. Semua orangpun sebentar di sini. Di sini tempat mencari bekalan.Tiba waktu aku pergi.Kalian tidak perlu sedu dan sedan bila aku pergi.


Oleh Shakir Md Taha

ORDER BARU DUNIA ISLAM DAN KESINAMBUNGAN PERJUANGAN UMAT

Sarjana di Barat mahupun di Timur, rata-rata menyatakan bahawa ummah  Islam punya potensi besar dalam mewarnai masa depan. Bernard Shaw umpamanya mengungkap The future religion of the learned, cultured and englightened people will be Islam. Manakala Arnold Toybee pula menyatakan Islam sebagai The future wave of the world. Apatah lagi jika kita menyorot tulisan sarjana-sarjana Muslim, keyakinan tersebut lebih menyerlah lagi.

Sebenarnya dunia Islam memang punya potensi sebagai  pemimpin tamadun dunia  di abad 21. Namun beberapa pra-syarat perlu dipenuhi.Kadar celik huruf dunia muslim perlu dipertingkatkan  kerana kebangkitkan Islam yang berbekalkan emosi semata-mata tidak punya makna tanpa didukungi oleh budaya ilmu, manakala kekuasaan,ekonomi dan kestabilan politik pula akan merupakan  pra-syarat pelengkap yang akan menentukan kebangkitan seterusnya bagi ummah Islam. Di sinilah letaknya  kepentingan forum-forum perbincangan  ummah Islam seperti yang tergambar di dalam persidangan antara Future Directions for Muslim Cooperation yang pernah dianjurkan oleh Universiti Islam Antarabangsa.

Order Baru Dunia Islam atau semangat Pan-Islamisme ini  bukanlah suatu  yang  baru.  Tamadun  Islam dibawah pimpinan  Rasulullah s.a.w. dengan  krkuatan yang mrncakupi dimensi rohani dan material dengan pancaran  wahyu segera berkembang  sepantas kelajuan cahaya( mengikut istilah S. Hussein Nasr) ke seluruh dunia.

Tamadun Islam  membentuk semangat pan-Islamisme dan berkembang dengan penuh harmoni  dari Andalusia hinggalah ke Dunia Melayu disebelah timurnya menyenaraikan ribuan tokoh dalam pelbagai bidang.

Namun Dunia Islam kemudiannya menghadapi  3 peristiwa  tragis. Pertama, perlanggaran orang-orang Mongol pada abad  7H/13M.Kedua,terjajahnya kebanyakan negara Muslimoleh  kuasa Barat sepanjang abad 13H./18M hingga awal abad 14H/19 M. Ketiga,jatuhnya khilafah Uthmaniah (khalifah Islam) ditahun 1924M.

Dunia Islam mengalami saat yang cukup menyayatkan hasil dari  3 keadaan tersebut hinggalah kepertengahan
abad 20 M apabila  satu demi satu negara Muslim mulai  merdeka secara fizikal serta kemudiannya di sambut oleh fenomena perkembangan dunia hari ini.(BERSAMBUNG)

Sunday, 21 August 2011

Namanya Sekolah Pondok

Ketika  Aku melawat ke sekolah pondok baru-baru ini, tiba seorang pensyarah muda bertanya,"Kenapa kebersihan sekolah pondok tidak terjaga dengan baik. Merekakan belajar agama...." Aku kira cukup menarik
soalan itu. Soalan itu jugalah yang sering bermain di kepala Aku. Kebanyakan sekolah pondok yang pernah lawati dan lihat memang kebersihannya cukup sedih. Lihatlah sahaja tandas. Kuning dan berkarat. Baunya menyesak dada.

Bangunan sekolah juga kelihatan cukup dhaif. Kawasan sekolah tidak dijaga dengan baik. Pokok bunga tidak kelihatan sangat. Sampah tidak diurus dengan baik.Begitulah wajah sekolah pondok yang Aku temui.

Demikian juga dengan buku-buku  yang digunakan. Menurut Prof. Dr.Deliar Noer  ada sekolah pondok yang menggunakan buku sama seperti yang digunakan di tanah Arab. Buku-buku yang ditulis pada Abad Pertengahan masih digunakan yang rata-rata ditulis ulama daripada Timur  Tengah. 

Keadaan yang terjadi di sekolah pondok hari berpunca daripada kelemahan pentadbir itu sendiri. Guru pondok tidak terlatih dalam ilmu pengurusan dan pentadbiran.Sebagaimana yang dikatakan oleh Prof. Dr.Deliar Noer,"umumnya mereka yang menyelenggarakan sekolah ini tidak  mengetahui cara mengerjakan administrasi dengan baik; pengetahuan administrasi   diperoleh dari pengalaman. Mereka kadang-kadang tampaknya kurang  peduli terhadap  administri ;bukan mereka tidak merasa perlu akan administrasi yang baik, tetapi penyelenggaraannya  merupakan hal yang di luar kemampuan mereka."

Mereka  mengajar di sekolah pondok dengan tujuaan menegakkan agama. Itu sahaja. Tidak ada yang lain. Bukan untuk mencari nafkah hidup.Mereka merasakan apa yang dilakukan sudah cukup baik. Masyarakat tentunya mendapat faedah hasil daripada lepasan sekolah pondok ini. Paling kurang masyarkat sudah ada imam solat, baik solat fardhu ataupun kifayah.

Oleh Shakir Taha

Sepanjang Perjalanan Bersama Ngo Wargakilang

Bila Aku melihat anak muda dalam gambar ini,Warikh(berbaju biru) dan Monior(berbaju merah) teringat pada ungkap Ir.Soekarno mantan Presiden Republik Indonesia. Katanya, "beri Aku sepuluh orang pemuda yang boleh mengoncang dunia..." Ada benarnya ungkap Bung Karno ini. Warikh YDP Wargakilang yang mengasaskan penubuhan NGO ini. Pengalaman beliau yang luas bekerja di luar negeri khususnya di Thailand dan melihat NGO di sini bekerja mensantui rakyat yang susah telah mengilhamkan beliau untuk penubuhkan  NGO Wargakilang.

Lalu dikumpulkan lebih kurang 10 orang pemuda daripada pelbagai kilang dengan bermacam fahaman anutan politik.Nama-nama seperti Wahab,Aznee, Sattar,Affendi, Shukri dan ramai lagi yang penulis tidak ingat dan kenal. Penulis berterima kasih kepada Sdr. Wahab yang pada mulanya agak malu untuk memperkenalkan kegiatan Wargakilang ini.

Penulis mengetahui Wahab dan Monior bukanlah datang daripada keluarga bangsawan. Mereka tidak malu menceritakan latarbelakang mereka. Benar mereka daripada keluarga  miskin. Dengan semangat, azam dan tekad untuk keluar daaripada lingkaran kemiskinan syaitan, mereka telah bersungguh-sungguh dalam pelajaran. Maka jadilah mereka seperti hari ini. Mereka tidak pernah lupa pada 'ikar' mereka. Mereka bukanlah 'Si Tanggang' atau 'Malim Kundang'.

Menurut Sdr. Warikh pertubuhan ini mula dikenali masyarakat. Aktiviti seperti bergotong-royong, membantu rakyat miskin, mengadakan program motivasi. Pendek kata mereka  melakukan apa yang termampu dengan tulang empat kerat dan dengan fikiran yang terbuka.

Jadi tidaklah hairan bila penulis melihat mereka tidak kekok bila berdepan dengan masyarakat atau pihak berkuasa hatta pemimpin kecil di daerah pedalaman(yang sekali sekala cuba menunjukkan 'taringnya')
Menurut YDP Wargakilang 'modus operandis' wargakilang kini menjadi ikutan beberapa NGO di negara ini.


NGO Wargakilang tidak terikat dengan sebarang partai politik atau apa sahaja pertubuhan. NGO Wargakilang  bersifat non-partisan dalam gerak kerjanya.

Dalam melakukan aktiviti kemasyarkatan NGO Wargakilang hanya boleh barang-barang makanan dan lain-lain keperluan rumah.Wargakilang tidak akan menerima sebarang sumbangan kewangan daripada mana-mana.pihak.Kalau ada pihak yang sudi hendak menghulurkan bantuan kewangan kepada pihak terbabit. Lakukanlah. Tapi bukan melalui Wargakilang. Individu berkenaan turun ke padang dan bertemu sendiri dengan pihak yang berkenaan.

Oleh Shakir Md Taha.

Saturday, 20 August 2011

Malaysia NegaraKu Kaya Raya





Malaysia negaraku. Rakyatnya berbilang bangsa.Pak Menteri selalu bilang negara kita kaya raya. Maka semua juak yang ada pasti akan mengiyakan apa  yang dikatakan oleh Pak Menteri. Ya! negara kita kaya raya.

Khabarnya Pak Menteri belum ke sini lagi. Mereka di sini selalu memikirkan hari ini mau makan apa. Khabarnya Pak Menteri dan juak-juak mencari hari ini mau makan siapa.

Di sini,sebuah kampung di daerah Sik yang bernama  Kampung Senduk. Daerah ini kaya dengan kemiskinan. Daerah ini kaya dengan buah-buahan. Daerah ini   kaya dengan kesunyian.

Aku dan kawan-kawan dari wargakilang sempat menzirahi Puan Rashidah 35 tahun yang kematian suami  baru-baru ini Rumahnya, rumah kayu. Dindingnya dibuat daripada papan lapis yang kualitinya amat merunsingkan. Dia tinggal bersama dua orang anakmya. Seorang 5 tahun dan seorang lagi 15 tahun.

Kelulusan dan kemahiran yang ada membolehkan dia menjadi seorang penoreh getah. Itulah yang termampu dilakukan oleh Puan Rashidah. Pendapatannya tidak seberapa. Beliau menoreh getah milik jirannya. Pendapatan yang ada dibahagikan dengan tuan tanah. Kemudian dibagikan pula dengan ibunya yang turut bersamanya. Baki yang tinggal itulah miliknya. Milik itu yang dikongsi bersama dua orang anaknya. Bila hari hujan terpaksalah  beliau berdiam diri di rumah.

Dalam program jalan-jalan masuk kampung pihak wargakilang singgap sebentar. Bertanya khabar. Menghulurkan bantuan sekadar  yang mampu.Aku lihat Puan Rashidah begitu terharu dan dengan linangan airmata menerima pelukan dan bantuan daripada kaum wanita.Beliau tidak mampu mengukir sebarang kata-kata. Sedih,pilu dan linangan airmata. Dan 1 Shawal akan menjelma tidak lama lagi. Di rumah inilah Puan Rashidah akan menyambut kedatangan1Shawal.

Sedih dan terharu dengan perhatian dan sumbangan yang diberikan oleh peserta program jalan-jalan masuk kampung  yang diketuai oleh NGO Wargakilang


Oleh Shakir Taha

Wednesday, 3 August 2011

Tambahan Tentang Tuan Guru Hj Ahmad Nahu Kuala Beris

Baru-baru ini penulis ke Sungai Jagung, Pendang Kedah. Di sini ada seorang guru silat gayung. Penulis selalu memanggil namanya Abang Man. Dia anak murid Cikgu Majid. Dalam dunia bersilatan Melayu jarang sangat  yang tidak kenal dengan nama ini. Cikgu Majid masih kuat dan sihat. Begitulah cerita Bang Man.Abang Man berbadan tegap, bermisai taring,tingginya kira-kira 5' 2" . Dia pelajar pondok. Belajar agama di Selatan  Siam. Selepas tamat pengajian dia pulang ke kampung.

Bila penulis bertanya tentang Tuan Hj Ahmad Nahu dia tahu. Hj Mohd Nahu boleh menguasai banyak bahasa. Dia boleh berbahasa Melayu, Arab, Tamil, Cina, Siam dan Inggeris. Beliau mahir tentang ilmu perubatan Melayu. Tak ramai guru pondok berkebolehan seperti beliau. Boleh dibilang dengan  jari. Sayangnya nama beliau hanya dikenali oleh orang tertentu sahaja. Tidak dapat dipastikan  adakah peranan beliau dikaji  oleh para sarjana tempatan.

Pastinya keilmuan yang ada pada beliau dimanfaat untuk membantu manusia. Jasanya kepada masyarakat setempat cukup besar. Walaupun beliau telah lama pergi tapi pusaka tinggalannya masih  dapat dilihat sehingga kini. "Wargakilang"  sebelum ini telah membuat lawatan ke pondok Hj Ahmad Nahu dan telah mengambil  dayausaha untuk membantu membaiki struktur bangunan yang kelihatan  begitu parah.

Oleh Shakir Taha